LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 30 pelajar dari sebuah sekolah agama berasrama penuh di Labu, di sini, sudah diambil keterangan oleh pihak polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, ia bagi membantu siasatan kes pelajar tingkatan dua yang didakwa cedera dibuli pelajar tingkatan empat, Jumaat lalu.

Katanya, kesemua pelajar terbabit diambil keterangan sehingga jam 2 petang.

Katanya, terdapat empat laporan polis diterima berkaitan kes berkenaan yang sedang disiasat.

"Permohonan reman terhadap enam lelaki yang bersangkut dengan kes yang disiasat juga sudah dimohon dan reman dibenarkan selama satu hari sehingga jam 5 petang tadi," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sebelum ini media melaporkan, pihak polis menerima tiga laporan polis Sabtu lalu berhubung kejadian pelajar tingkatan dua cedera di beberapa bahagian badan selepas didakwa dibuli pelajar senior di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berasrama penuh, di sini.

Kejadian itu didakwa berlaku pada kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu membabitkan seramai 75 pelajar tingkatan dua yang dibuli oleh seramai 20 pelajar tingkatan empat.

Berita berkaitan:

  • Tiga pelajar dakwa dibuli senior
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 11:05 PM