PASUKAN bomba menjalankan operasi pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang di Sungai Kampung Malangkap Darat. FOTO ihsan bomba
PASUKAN bomba menjalankan operasi pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang di Sungai Kampung Malangkap Darat. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Kota Marudu: Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Malangkap Darat, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.04 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikerah ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Setakat ini, mangsa belum ditemukan dan operasi SAR ditangguh pada 7.30 malam tadi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR akan disambung pada pagi esok kerana laluan masuk ke rumah mangsa dinaiki air dan anggota bomba terpaksa berjalan ke lokasi kejadian.

"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 11:55 PM