LOKASI kejadian kanak-kanak lemas selepas mandi di kawasan parit di Jalan Radu, Kota Marudu. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI kejadian kanak-kanak lemas selepas mandi di kawasan parit di Jalan Radu, Kota Marudu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Marudu: Kanak-kanak lelaki lemas manakala rakannya ditemukan tidak sedarkan diri selepas mandi di parit di Jalan Radu, di sini, hari ini.

Mangsa, Mohammad Azam Masrul Abdullah, 10, disahkan meninggal dunia lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Kota Marudu.

Rakannya berusia 10 tahun tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Hasbi Hajat berkata, sepasukan anggota dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.49 petang.

Katanya, mangsa pertama berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri, serta dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Mangsa kedua turut diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri.

"Namun, dia sempat diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh seorang pegawai bomba yang berada di luar waktu penugasan di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan ambulans.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Kota Marudu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi tamat pada 5.45 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 8:39 PM