GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Cubaan seorang lelaki membawa masuk 32 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia menggunakan sebuah lori terbongkar apabila ditahan polis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pemandu lori berusia 30-an itu ditahan anggota dari Balai Polis Kapar yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar daerah berkenaan.

"Pasukan rondaan terserempak dengan sebuah lori pada jam 6 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 lelaki dan 13 wanita asing ditemui di belakang lori terbabit.

"Kesemua Pati berusia berusia 20 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kesemua Pati itu memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot pancung.

Katanya, pemandu lori berkenaan mendapat upah sebanyak RM1,000 dan dia disyaki dalam perjalanan dari Klang Utara untuk menghantar Pati itu ke sekitar Klang.

"Kesemua Pati berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1c) Akta Imigresen 1959/63 manakala pemandu lori ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM ) 2007," katanya.

Sehubungan itu, Vijaya Rao meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 5:03 PM