GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Klang: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan warga Myanmar selaku saksi utama perbicaraan kes penyeludupan migran di Mahkamah Tinggi Klang, Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, identiti remaja berusia 18 tahun yang tidak dapat dikesan itu dikenali sebagai Ayesha Bibi Mohamed.

"Perbicaraan kes berkenaan dijadualkan pada 11 hingga 14 Oktober depan.

"Justeru, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai saksi berkenaan supaya menyalurkannya kepada polis.

"Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Ramli di talian 012-9392198 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya tadi.

Beliau berkata, sebelum ini pasukan Gerakan Am (PGA) Pos Tok Muda menahan 36 migran warga Indonesia dan Myanmar sekitar jam 5 pagi, 6 Januari lalu.

Katanya, tangkapan terhadap dua lelaki Myanmar turut dilakukan anggota Balai Polis Kapar selain merampas kereta Honda City yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran.

"Dua suspek terbabit didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:48 PM