BERNAMA

Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan 269 kompaun membabitkan nilai RM95,000 untuk tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, sebanyak 19,666 premis telah diperiksa sepanjang tempoh sama bagi memastikan pemain industri mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Daripada jumlah kompaun itu, sebanyak 184 kes kompaun paling tinggi direkodkan menurut Akta Kawalan Harga dan Pencatutan iaitu membabitkan kesalahan harga mahal dan tiada tanda harga.

"Pihak kami turut memperkukuh pemantauan harga dengan kerjasama pelbagai pihak seperti rakan KPDNHEP, pegawai pemantau harga serta pelbagai agensi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka KPDNHEP Pulau Pinang, di sini hari ini.

MOHD Ridzuan ditemui pada Majlis Rumah Terbuka KPDNHEP Pulau Pinang di Kompleks Sempilai Jaya. FOTO Danial Saad
MOHD Ridzuan ditemui pada Majlis Rumah Terbuka KPDNHEP Pulau Pinang di Kompleks Sempilai Jaya. FOTO Danial Saad

Pada majlis itu sebanyak 500 pegawai dan anggota KPDNHEP Pulau Pinang dan pelbagai agensi kerajaan serta pemimpin setempat menghadirinya.

Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP Pulau Pinang sentiasa membuat pemantauan mengikut keadaan dan situasi, agar semua peniaga mematuhi peraturan sedia ada khususnya ketika musim perayaan.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar raya, pasar awam, dan pasar tani.

"Pemeriksaan untuk memastikan pengguna dilindungi daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika ketika musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya tiada aduan atau laporan kenaikan harga ayam atau sayur-sayuran di Pulau Pinang selepas Aidilfitri seperti yang berlaku di beberapa negeri lain ketika ini.

"Dari segi harga ayam memang tiada aduan malah pemantauan kami juga mendapati peniaga menjual mengikut harga yang ditetapkan manakala sayur-sayuran pula mereka (peniaga) jual dengan harga lebih murah berbanding ketika bulan puasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 1:18 PM