MOHD Ridzuan (kanan) ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di Pusat Beli Belah Queensbay, Bayan Baru. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
MOHD Ridzuan (kanan) ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di Pusat Beli Belah Queensbay, Bayan Baru. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang melakukan 7,326 pemeriksaan ke atas premis perniagaan sejak bulan lalu dan merampas pelbagai barang bernilai RM87,335.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, antara yang dirampas adalah barang terkawal dan bersubsidi yang disimpan tanpa kebenaran pihak berkuasa, barang tiruan, barang yang menyalah guna logo halal dan banyak lagi.

Katanya, daripada itu 80 kes dikesan dan keseluruhan kompaun dikeluarkan cecah RM7,550.

"Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya ketika tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di Bayan Baru di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Mohd Ridzuan berkata, tujuh kesalahan tidak mempamer tanda harga turut dikesan ketika pemantauan kawalan harga sejak 8 Februari lalu di pasar awam dan peniaga dikenakan kompaun berjumlah RM700.

Beliau memohon kerjasama masyarakat untuk menjadi penyalur maklumat dan mengemukakan aduan sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan cara menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri di talian 04-3840245 atau saluran lain yang disediakan kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:32 PM