Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Harga barangan keperluan seperti barangan basah termasuk sayur-sayuran dan ayam di Kelantan mula menunjukkan trend penurunan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Adnan Abd Rahman berkata, jika tiga minggu lalu harga ayam dijual melebihi RM9 hingga RM10 sekilogram, namun sejak beberapa hari lalu harga turun di bawah paras RM9 sekilogram.

Beliau berkata, pemantauan pihaknya mendapati harga sayur-sayuran di negeri itu turun hasil daripada penguatkuasaan pihak kerajaan.

"Kami mendapati peniaga terutama di pasar basah di negeri ini menjual mengikut harga ditetapkan.

"Contohnya ayam, hasil pemantauan mendapati harganya sudah turun di bawah RM9, malah ada menjual dengan harga RM8 ke bawah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Keluarga Malaysia KPDNHEP Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawalan harga membabitkan 12 barangan ditetapkan harga siling termasuk ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran berkuat kuasa mulai 7 hingga 31 Disember ini.

Harga barangan keperluan termasuk sayur-sayuran dan ayam di Kelantan menunjukkan trend penurunan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Harga barangan keperluan termasuk sayur-sayuran dan ayam di Kelantan menunjukkan trend penurunan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, hasil tinjauan pihaknya pada hari ini mendapati, semua peniaga menjual dengan harga ditetapkan dan meletakkan tanda harga untuk barang kawalan.

"Kerajaan memandang serius penjual yang menjual melebihi harga siling dan mereka boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penalti iaitu bagi individu denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun hingga RM50,000.

"Bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

"Mereka yang gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu bagi barangan kawalan boleh didenda RM10,000 atau kompaun RM5,000 serta syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun RM10,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:00 PM