GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesan kenaikan tiga jenis sayur-sayuran ketika melakukan pemeriksaan di pasar awam, pasar raya dan beberapa pasaraya besar terpilih di seluruh negeri itu.

Tiga jenis sayur-sayuran berkenaan adalah kacang buncis yang mengalami kenaikan kira-kira RM3 sekilogram apabila dijual pada harga di antara RM15 hingga RM17 berbanding RM12 hingga RM14 sebelum ini.

Sayur kubis bulat import naik daripada RM4 hingga RM5 sekilogram kepada RM5 hingga RM7, manakala harga sekilogram cili akar merah mengalami kenaikan daripada RM13 hingga RM15 kepada antara RM15 hingga RM20.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pada Isnin lalu hingga hari ini mendapati terdapat beberapa jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga dan ada juga beberapa jenis sayuran yang mengalami penurunan harga.

"Walau bagaimanapun, harga sayuran di pasar raya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam.

"Kita keluarkan lapan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur sejak Rabu lalu sehingga semalam.

"Selain itu, kita turut mengeluarkan sebanyak 46 notis pengesahan maklumat barangan dan lima notis bertulis di bawah seksyen sama kepada peniaga sayuran sepanjang tahun ini untuk memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga barangan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, selain pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP, sebanyak 186 jenis barangan turut dipantau secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga yang merangkumi 41 premis pasar serta 31 pasar raya super dan hyper terpilih di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berkata, Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP negeri juga telah melakukan 47,578 pemeriksaan berkaitan harga barang pada sepanjang tahun ini.

Hasilnya, sebanyak 373 kes dicatatkan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kompaun sebanyak RM46,850 selain mengeluarkan 374 notis pengesahan maklumat barangan dan 139 notis bertulis di bawah seksyen sama bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga barangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:49 PM