TANGKAP layar video pekerja syarikat penghantaran membuli lelaki OKU.
TANGKAP layar video pekerja syarikat penghantaran membuli lelaki OKU.
Mohd Roji Kawi


Kuching : Polis menahan dua pekerja syarikat penghantaran barang susulan video membabitkan seorang daripada mereka membuli lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Bandar Baru Semariang, di sini tular, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, di dalam video berdurasi 56 saat itu memaparkan suspek lelaki berusia 24 tahun membakar mercun dan menghalakan kepada lelaki OKU berusia 40 tahun yang sedang berehat di tangga sebuah bangunan.

Menurutnya, di dalam video itu suspek turut menakutkan mangsa dengan mengacah-acah mencucuknya dengan objek tumpul dan perbuatan itu dirakam rakan sekerjanya.

"Berikutan video yang tular di laman sosial itu, satu laporan polis diterima dan bertindak atas laporan itu dua suspek termasuk yang merakam video itu ditahan oleh anggota dari Balai Polis Santubong serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, petang semalam.

"Suspek direman empat hari mulai hari ini dan semua barang kes termasuk pakaian seragam syarikat penghantaran yang dipakai suspek utama ketika kejadian dan bekas mercun yang digunakannya dirampas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

Menurutnya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan objek dan Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai menggunakan bahan letupan iaitu mercun.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda manakala bagi Seksyen 286 Kanun Keseksaan pula dia boleh dipenjara sehingga enam bulan," katanya.

Sementara itu, berhubung kes lelaki yang menyerang kakitangan awam yang membantu mengawal lalu lintas dalam kemalangan jalan raya di Jalan Astana, di sini, 20 April lalu, Ahsmon berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

"Pada mulanya polis menyiasat kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun jika sabit kesalahan, namun Pejabat Peguam Negara mengkaji hasil siasatan dan bersetuju untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 326 yang membawa hukuman lebih berat," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 58 tahun mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke hospital selepas diserang oleh suspek menggunakan objek tumpul.

"Dalam kes ini, suspek berusia 42 tahun adalah samseng yang bertindak tanpa usul periksa menyerang mangsa yang ketika itu cuba memberi bantuan ketika berlaku kemalangan jalan raya.

"Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan tiga lagi rekod kes dadah. Dia dituduh di mahkamah pada 28 April lalu dan sebutan semula kes pada 31 Mei ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 12:35 PM