Aliff Syukri. FOTO Aziah Azmee.
Aliff Syukri. FOTO Aziah Azmee.
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Sebagai saudara seagama saya ingin nasihatkan.. syurga dijadikan Allah bukan untuk ustaz, ustazah dan tok guru namun untuk golongan yang bertakwa."

Itu nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengenai kepada usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menghasilkan video muzik sempena Aidilfitri yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Idris berkata, semalam beliau menjemput Aliff Syukri melalui media untuk bertemu untuk menjalin ukhuwah, berkongsi dan berbincang dalam pelbagai perkara.

"Namun, setakat ini saya belum menerima maklum balas daripada usahawan kosmetik itu lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Mashaf al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di sini. hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Aliff Syukri menerima kecaman ramai apabila klip video lagu Kelepok Raya yang tidak bersesuaian dengan sambutan Syawal.

Idris berkata, seseorang yang dianugerahkan rupa paras yang cantik dan bakat seni daripada Allah SWT sepatutnya menggunakan manfaat itu untuk kebaikan diri mereka.

Menurutnya, pihaknya banyak menerima luahan rasa tidak puas hati daripada netizen menyatakan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak serius dalam menangani isu berkenaan.

"Dari awal lagi, kami sudah mendapatkan maklumat dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) kerana kementerian itu yang bertanggungjawab, tambahan pula bidang kuasa Jakim ada had tertentu.

"Jakim sentiasa bekerjasama dengan K-KOMM apabila berlaku kes seumpama ini," katanya.

Mengulas mengenai isu pakej taubat seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, beliau berkata, ia berpunca daripada kejahilan individu mengenai agama dan kesempatan itu diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk perniagaan mereka.

"Sekiranya kita pandai dalam bidang agama, taubat kepada Allah tidak perlu bayar tol dan gunakan orang perantaraan.

"Sebaliknya boleh dilakukan sendiri kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi kita belum mati dan dunia kiamat, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 1:55 PM