Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengisi 2,862 kekosongan guru menerusi proses lantikan biasa.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, proses itu akan dilakukan secara berterusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Menurutnya, langkah itu juga akan menyelesaikan masalah kekurangan guru yang berlaku di sekolah di bawah KPM.

"Data kementerian sehingga 19 September, sebanyak 21,564 kekosongan guru di seluruh negara.

"Menerusi pengambilan secara 'one off', seramai 18,702 guru sudah diambil pada Jun lalu dan baki 2,862 akan diisikan menerusi lantikan biasa secara berterusan," katanya dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berbincang bersama Dr Radzi (kanan) ketika pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berbincang bersama Dr Radzi (kanan) ketika pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang bertanyakan keperluan sebenar kekosongan guru di seluruh negara.

Radzi berkata, KPM mengutamakan calon dari universiti awam dan universiti swasta yang mempunyai latar belakang iktisas pendidikan.

Ketika menjawab soalan tambahan, Radzi berkata, pertukaran guru sudah menjadi isu untuk satu tempoh yang panjang.

Katanya, KPM sedang meneliti satu penyelesaian jangka panjang dengan pendekatan yang lebih menyeluruh.

"Dalam tempoh terdekat, KPM akan keluarkan garis panduan baharu dan susun semula pertukaran guru.

"Kemasukan lebih 18,000 guru baharu ini akan disejajarkan dengan pertukaran yang dipohon namun sebarang pertukaran perlu dibuat berdasarkan keperluan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 12:59 PM