Omar Ahmad

Mersing : Dua bot nelayan asing Vietnam bersama 21 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing kerana menceroboh di Kuala Mersing, pada 10 pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua mereka ditahan bersama peralatan menangkap ikan hasil tangkapan dianggarkan 6,000 kilogram dan bekalan diesel lebih kurang 5,500 liter, yang dianggarkan bernilai RM2 juta,

Katanya, kedua-dua bot ditahan oleh aset APMM dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut di kedudukan kira-kira 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing.

"Pemeriksaan terhadap 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot, warga Vietnam berumur antara 16 hingga 62 tahun juga gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut, " katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

SALAH satu daripada bot berkenaan. FOTO Ihsan APMM
SALAH satu daripada bot berkenaan. FOTO Ihsan APMM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 8:41 AM