ANTARA 20 kru nelayan bot Vietnam ditahan APMM kerana menangkap ikan secara haram selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah
ANTARA 20 kru nelayan bot Vietnam ditahan APMM kerana menangkap ikan secara haram selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah
Mohamad Fahd Rahmat

Mersing: Seramai 20 nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menangkap ikan secara haram selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah semalam.

Pengarah Zon APMM Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sebelum itu mereka didakwa menceroboh perairan negara di kedudukan lebih kurang 7.9 batu nautika dari timur laut Pulau Pemanggil di sini.

Menurutnya, susulan itu APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 yang menjalankan pemeriksaan terhadap dua bot nelayan Vietnam pada 12.30 tengah malam di perairan Mersing.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua bot berkenaan berisi hasil laut, diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

"Pemeriksaan lanjut terhadap 20 nelayan berkenaan termasuk tekong kedua-dua bot mengesyaki mereka adalah warga Vietnam berusia 16 hingga 52 tahun dan mereka juga gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dua bot beserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dianggarkan seberat 9,000 kilogram dan bekalan diesel lebih kurang 11,500 liter dirampas, manakala 20 kru ditahan seterusnya diiringi masuk ke Jeti APMM Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, APMM mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti pencerobohan vesel.

"APMM mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan tindakan sewajarnya.

"Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:21 PM