Pihak berkuasa merampas 3,000 kilogram hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing Johor. Foto ihsan Maritim Malaysia
Pihak berkuasa merampas 3,000 kilogram hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing Johor. Foto ihsan Maritim Malaysia
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Kira-kira tiga tan hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM3.1 juta dirampas dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur di sinis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, turut ditahan 19 kru warga Vietnam berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun dalam operasi jam 2.30 petang itu selepas gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

Katanya, kejayaan hasil operasi penguatkuasaan Op Jaksa dan Op Bersepadu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM).

"Kedua-dua bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menunda pukat secara berganding.

"Ia susulan hasil aduan awam daripada kru bot memancing yang berada berdekatan dengan pulau tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dua bot berserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan 19 kru ditahan itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, APMM secara tegas mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

"APMM mengingatkan seluruh komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Katanya, sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 072199404.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 2:09 PM