Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Syukur, Ramadan tahun ini bawa sinar baharu buat saya dan keluarga," kata orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu serta penghidap barah limfoma, Zulkifli Ainul Mokhsein, 34.

Katanya, tahun ini segala-galanya berubah selepas menerima sumbangan daripada Tabung Metro Prihatin berjumlah RM5,000.

Zulkifli berkata, selepas tiga tahun tidak berupaya untuk bekerja atas faktor kemerosotan kesihatannya kerana diserang barah sebanyak tiga kali, dia sekeluarga terpaksa meraikan Aidilfitri dalam suasana serba kekurangan.

"Sumbangan Tabung Metro Prihatin digunakan sebaik mungkin terutama bagi melangsaikan hutang. Malah saya juga melangsaikan tunggakan bil utiliti serta membeli pelbagai barangan keperluan.

"Selebihnya disimpan dan membeli keperluan tiga anak berusia tujuh bulan hingga enam tahun termasuk baju raya mereka," katanya yang mengambil tempahan karipap demi menampung kelangsungan hidup ketika Ramadan.

Zulkifli berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Metro Prihatin untuk membantu golongan yang senasib dengannya.

ZULKIFLI  Ainul dan Siti Nuratikah bersyukur menerima sumbangan Tabung Metro Prihatin. FOTO  Mary Victoria Dass.
ZULKIFLI Ainul dan Siti Nuratikah bersyukur menerima sumbangan Tabung Metro Prihatin. FOTO Mary Victoria Dass.

"Saya masih menjalani kemoterapi dan saya sentiasa menguatkan semangat demi anak dan isteri.

"Saya percaya penyakit ini sebagai ujian daripada Allah cuma tetap berdoa dan berharap diberi kesembuhan," katanya.

Sebelum ini Harian Metro mendedahkan kisah penderitaan lelaki berkenaan yang bukan sekali malah tiga kali diserang barah limfoma.

Zulkifli yang menetap di EG-1, Jalan Setia 4, Taman Setia Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah, di sini menyatakan penyakit itu kini berada di tahap empat dan berikutan masalah kesihatan, Zulkifi tidak dapat mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Penyakit barah limfoma menyerangnya semula Oktober tahun lalu dan ia menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan.

Zulkifli juga adalah OKU bisu dan masalah pendengaran sejak lahir serta pasangannya, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 29, juga mengalami masalah sama.

Tabung Metro Prihatin diwujudkan bagi membantu orang ramai menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan selepas kisah mereka disiarkan akhbar Harian Metro.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 3:44 PM