Tosrin menziarahi Zulkifli di rumahnya di PPR Taman Setia Indah, Johor Bahru hari ini. Foto Mary Victoria Dass
Tosrin menziarahi Zulkifli di rumahnya di PPR Taman Setia Indah, Johor Bahru hari ini. Foto Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Hanya Tuhan dapat membalas keikhlasan netizen yang sanggup menghubungi saya untuk memberi kata-kata semangat selain menyalurkan bantuan kewangan," kata penghidap barah limfoma tahap empat, Zulkifli Ainul Mokhsein, 34.

Zulkifli Ainul yang juga penjual sate berkata, kisahnya yang disiarkan Harian Metro semalam mendapat perhatian netizen yang sanggup menghubunginya.

Menurutnya, ada antara netizen yang menyumbang sejumlah wang bagi membolehkannya membeli bekalan barangan dapur untuk keluarga.

"Saya terharu kerana insan tidak dikenali mengambil berat dan memberi keyakinan bahawa penyakit ini akan pulih dan menyatakan mereka akan mendoakan kesembuhan saya.

"Saya percaya kuasa doa, lebih ramai mendoakan saya, mungkin berlaku suatu keajaiban berlaku," katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah di sini, hari ini.

Tosrin berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) akan turut menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM400 kepada keluarga berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berurusan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) bagi mengecualikan bayaran sewa rumah keluarga berkenaan.

"Kami akan berbincang supaya mereka tidak perlu membayar sewa lagi, oleh itu duit yang mereka terima boleh gunakan untuk rawatan dan lain-lain.

"Selain itu, saya juga akan cuba dapatkan bantuan-bantuan lain untuk keluarga ini," katanya.

Bukan sekali namun tiga kali Zulkifli diserang barah limfoma.

Penyakit itu kini berada di tahap empat dan berikutan masalah kesihatan, Zulkifi tidak dapat mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Barah limfoma menyerangnya semula Oktober tahun lalu dan ia menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan.

Dia terpaksa ditahan sebulan di wad hospital dan perlu menjalani enam sesi rawatan kemoterapi.

Zulkifli yang bisu dan ada masalah pendengaran sejak lahir berkahwin dengan pasangan orang kurang upaya (OKU) kategori sama dan mereka memiliki tiga anak berusia enam, tiga serta lima bulan.

Zulkifli pernah bekerja sebagai pemandu lori namun terpaksa berhenti selepas disahkan menghidap barah limfoma tiga tahun lalu.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Islamic Bank 10528 0004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 5:42 PM