ZULKIFLI Ainul Mokhsein yang menghidap barah limfoma tahap empat bersama isteri dan anak-anak ketika menikmati makan tengahari
ZULKIFLI Ainul Mokhsein yang menghidap barah limfoma tahap empat bersama isteri dan anak-anak ketika menikmati makan tengahari
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Selepas hampir 40 kali jalani kemoterapi dalam tempoh lima tahun, sel barah saya dari bahagian dada kini didapati masih aktif dan merebak hampir hingga ke seluruh badan dan hanya Allah saja tahu jangka hayat saya," kata Zulkifli Ainul Mokhsein.

Zulkifli Ainul, 36, yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan pendengaran diuji dengan barah limfoma tahap empat dan dalam tempoh lima tahun, sel kansernya berulang aktif.

Menurutnya, lebih membimbangkan doktor mengesahkan sel barah merebak hampir ke seluruh tubuh dan dinasihati menjalani rawatan radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebanyak 20 kali mulai akhir bulan ini.

Katanya, dia hanya berserah kepada tuhan dan ikhtiar menjalani rawatan radioterapi demi isteri serta tiga cahaya mata berusia tujuh, empat dan dua tahun.

"Saya dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IKN) seminggu lalu bagi menjalani PET Scan (Positron Emission Tomography) dan CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) bagi pemeriksaan seluruh tubuh.

"Pemeriksaan itu dilakukan bagi memastikan tiada sel barah di dalam badannya selepas kitaran kedua rawatan kemoterapi sudah berakhir.

"Ternyata saya masih diuji Allah apabila sel barah disahkan sudah merebak ke seluruh badan dan saya tiada pilihan melainkan menjalani rawatan radioterapi dan saya pasti ia bukan mudah kerana sebelum ini ketika menjalani kemoterapi, saya berasa loya dan amat letih," katanya ketika ditemui hari ini.

Zulkifli Ainul berkata, sudah banyak cabaran diharungi sepanjang diuji dengan penyakit itu antaranya terpaksa berhenti berniaga sate hingga gagal menyara keluarga dan kesan kemoterapi serta pinggang lemah.

Menurutnya, malah walaupun menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejumlah RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM450, namun ia tidak mencukupi.

Katanya, dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, dia tiada sumber pendapatan lain malah perancangan isterinya yang juga OKU pendengaran dan bisu, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 30, untuk bekerja juga gagal kerana perlu memberi penjagaan kepadanya dan anak.

"Masalah terputus bekalan makanan bukan perkara baharu bagi kami dan kadang-kala kamihanya berkongsi dua bungkus nasi bajet.

"Malah sehingga kini saya juga tidak mampu melakukan sebarang persiapan menjelang Ramadan dan bekalan dapur yang ada hanya mampu bertahan selama tiga hingga empat hari.

"Saya juga memerlukan wang bagi menampung kos berulang-alik ke hospital untuk menjalani radioterapi.

"Saya tidak tahu sampai bila saya dapat melawan situasi seumpama itu, namun saya tidak mahu berputus-asa kerana isteri dan anak hanya memiliki saya sebagai tempat bergantung," katanya.

Zulkifli yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah, Johor Bahru, Johor itu berharap ada keajaiban untuknya sembuh supaya dapat menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 101280031978 miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:45 PM