LEE bersama peguamnya selepas dibebaskan atas tuduhan mengedar dan memiliki 2.3 gram dadah pada 2016. FOTO Meor  Riduwan Meor Ahmad.
LEE bersama peguamnya selepas dibebaskan atas tuduhan mengedar dan memiliki 2.3 gram dadah pada 2016. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Hanya linangan air mata kegembiraan bagi seorang penjaja apabila terlepas hukuman gantung sampai mati selepas dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah heroin enam tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Maidzuara Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, tertuduh, Lee Ching Hin, 42, memilih memberi keterangan bersumpah dan mengemukakan dua saksi pembelaan apabila diperintah membela diri di akhir kes pendakwaan pada 28 Oktober 2021.

Mahkamah antara lain mendapati secara keseluruhannya keterangan tertuduh dari malam sebelum kejadian sehingga dia ditangkap begitu rapi dengan dibantu keterangan saksi pembelaan (SD) kedua dan ketiga.

Mahkamah juga katanya, mendapati pihak polis tidak menangkap tertuduh di dalam kereta dan tiada keterangan bagaimana beg sandang berisi dadah itu berada di dalam kereta di tempat duduk hadapan.

"Setelah meneliti semua fakta-fakta kes, mahkamah memutuskan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan," katanya di akhir kes pembelaan hari ini.

Mengikut pertuduhan dia didakwa mengedar dadah heroin seberat 91.3 gram di tempat letak kenderaan di 124-K, Jalan Mahindasa, Taman Bukit Serindit, Bukit Serindit pada 23 September 2016 jam 1.45 tengah hari.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952, iaitu kesalahan memiliki 2.3 gram dadah monoacetylmorphines pada masa, tarikh dan di tempat sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Chin Hin ketika ditemui di luar kamar mahkamah kelihatan amat gembira dan mengesat air mata kerana dibebaskan serta berterima kasih kepada peguamnya, Tiu Leong Kim.

"Selama hampir enam tahun saya ditahan di Penjara Sungai Udang, Melaka, akhirnya hari ini saya dibebaskan," katanya yang turut menghubungi ibu bapanya di Cheras, Kuala Lumpur memaklumkan pembebasannya.

Sepanjang perbicaraan kes, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad memanggil 11 saksi memberi keterangan manakala pembelaan seramai tiga orang termasuk tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 3:01 PM