Sri Ayu Kartika AmriAnis Syuhada Mohd Rosli dan Natrah Laili Abdul Aziz dan Mohammad Ashyiq Haqimi


Bangi: Meneruskan misi untuk menyemarakkan kebaikan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan masyarakat, Harian Metro berganding bahu dengan Hijrah bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan tahun ini selain membantu menyediakan kelengkapan dan persiapan menyambut Aidilfitri.

Usaha murni itu dilaksanakan di bawah kempen 'Hijrah, Bermula Dari Hati' menerusi program kerjasama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Hijrah.

Hijrah ialah produk susu krimer manis pilihan rakyat Malaysia yang diiktiraf 100 peratus halal.

Sebagai jenama yang prihatin, Hijrah mengambil inisiatif membawa lebih banyak kebaikan dan memberi sumbangan diperlukan oleh masyarakat sejajar dengan istilah 'Hijrah' itu sendiri.

Sebanyak 150 keluarga kurang berkemampuan dan 150 kanak-kanak asnaf diraikan pada satu majlis yang diadakan di Masjid Rinching Hilir, Kampung Rinching Hilir, Bangi, baru-baru ini. Selain itu, terdapat lima kampung terbabit dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini iaitu Kampung Rinching Hilir, Kampung Sungai Kembong Hulu, Kampung Sungai Kembong Hilir, Kampung Batu 5 dan Kampung Batu 4.

HUSAIN (kiri) dan  Mohd Zurairi merasmikan program TKHM Bersama Hijrah di Masjid Kampung Rinching Hilir. FOTO Azhar Ramli
HUSAIN (kiri) dan Mohd Zurairi merasmikan program TKHM Bersama Hijrah di Masjid Kampung Rinching Hilir. FOTO Azhar Ramli

Selain Kotak Rezeki, Hijrah Bermula Dari Hati juga membawa kanak-kanak membeli-belah kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri di pasar raya di Bangi.

Setiap kanak-kanak diperuntukkan RM150 membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung, songkok dan tudung mengikut cita rasa masing-masing.

Program TKHM bersama Hijrah diteruskan dengan penyampaian sumbangan duit raya dan Kotak Rezeki yang mengandungi pelbagai barangan keperluan harian termasuk susu krimer manis Hijrah, beras, gula, minyak masak dan tepung bernilai RM150 sekotak kepada 150 keluarga yang kurang berkemampuan.

MURID dari Sekolah Rendah Agama Kampung Rinching Hilir, Semenyih selesai membeli pakaian dan kasut bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi pada program TKHM Bersama Hijrah di Bandar Sri Putra, Bangi. FOTO Azhar Ramli
MURID dari Sekolah Rendah Agama Kampung Rinching Hilir, Semenyih selesai membeli pakaian dan kasut bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi pada program TKHM Bersama Hijrah di Bandar Sri Putra, Bangi. FOTO Azhar Ramli

Keluarga dan kanak-kanak ini kemudiannya diraikan pada majlis berbuka puasa di pekarangan Masjid Rinching Hilir. Juadah berbuka puasa termasuk bubur lambuk disediakan secara bergotong-royong oleh ahli jawatankuasa masjid, penduduk kampung serta sukarelawan Harian Metro dan Hijrah.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Program TKHM Husain Jahit berkata, Harian Metro berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hijrah buat kali kedua bagi membantu lebih ramai masyarakat memerlukan.

"Sejajar objektif TKHM menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami adalah untuk membantu keluarga miskin, anak yatim serta golongan asnaf termasuk ibu tunggal miskin dengan memberikan bantuan berupa barangan keperluan asas serta sedikit wang tunai," katanya pada Program TKHM Bersama Hijrah di Masjid Rinching Hilir di Bangi.

HUSAIN (kiri) bersama Mohd Zurairi (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Siti Nordiana (tengah). FOTO Azhar Ramli
HUSAIN (kiri) bersama Mohd Zurairi (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Siti Nordiana (tengah). FOTO Azhar Ramli

Hadir sama, wakil jenama Hijrah, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan Mohd Zurairi Mustafa dan Pengarang Berita HM yang juga Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, walaupun negara kian kembali normal, ramai yang masih bergelut akibat wabak Covid-19.

"Hijrah menyedari kepentingan usaha daripada semua pihak untuk mengharungi cabaran kehidupan dan oleh sebab itu mereka berharap kempen ini akan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa mereka tidak keseorangan dalam apa jua cabaran yang mereka tempuhi.

"Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam kempen ini sambil berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri setiap hari," katanya.

DUTA produk Hijrah, Siti Nordiana  membuat teh tarik pada program TKHM Bersama Hijrah di Masjid Kampung Rinching Hilir. FOTO Azhar Ramli
DUTA produk Hijrah, Siti Nordiana membuat teh tarik pada program TKHM Bersama Hijrah di Masjid Kampung Rinching Hilir. FOTO Azhar Ramli

Wakil Hijrah, Siti Nordiana pula berkata, sebagai jenama yang memahami masalah komuniti setempat, Hijrah bekerjasama dengan Harian Metro sekali lagi tahun ini.

"Fokus utama kami adalah untuk memberikan harapan baharu kepada keluarga yang kurang berkemampuan di Kampung Rinching Hilir pada Ramadan mulia.

"Oleh itu, kami berharap Kempen Hijrah Bermula Dari Hati ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengorak langkah mereka sendiri menyumbang kembali kepada komuniti mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 12:04 PM