Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bangi: Program Rumah Ibadat Hijau seluruh negara bakal dijadikan pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dan cekap tenaga.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, sebanyak 11 masjid dan sebuah kuil sudah dikenal pasti menjadi pelopor kepada program berkenaan tahun ini.

Menurutnya, menerusi program berkenaan, empat elemen diberikan penekanan antaranya penjimatan tenaga elektrik, air, pengurangan penjanaan sisa buangan dan pengurusan sisa buangan yang teratur serta penggalakan pembelian produk hijau.

"Program ini berperanan memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat setempat.

"Ini boleh dijadikan contoh menjadikan komuniti cekap tenaga, air, mesra alam dan rendah karbon," katanya selepas merasmikan Projek Rintis Pertama Rumah Ibadat Hijau di Masjid Al Hasanah di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Zaini berkata, menerusi program ini Masjid Al Hasanah mampu menjimatkan 59 peratus penggunaan tenaga elektrik selain 42 peratus untuk air.

ZAINI (tiga kanan) melancarkan pelaksanaan sistem solar di Masjid Al-Hasanah. Turut Kelihatan, Adissadikin (kanan), Shamsul Bahar (dua kanan) dan Mohd Safian (kiri). FOTO Azhar Ramli
ZAINI (tiga kanan) melancarkan pelaksanaan sistem solar di Masjid Al-Hasanah. Turut Kelihatan, Adissadikin (kanan), Shamsul Bahar (dua kanan) dan Mohd Safian (kiri). FOTO Azhar Ramli

Turut hadir, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor; dan Nazir Masjid Al Hasanah, Mohd Safian Abdul Rahman.

Sementara itu, Adissadikin berkata, pihaknya menyumbangkan RM75,000 untuk pemasangan panel solar bagi fasa pertama yang boleh menjimatkan penggunaan elektrik dengan kos RM12,600 setahun.

Katanya, orang ramai juga disarankan untuk menyumbang dana wakaf menerusi perkhidmatan 'syuQR' iaitu perkhidmatan derma digital dengan masjid berdaftar dengan RHB.

"Kami akan terus berusaha untuk merangsang dan menggalakkan sumbangan dana wakaf daripada orang ramai untuk merealisasikan program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 12:26 PM