Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman merangkul anugerah Tokoh Pengamal Media sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M Peringkat Perak di Hotel Casuarina, Meru Raya, di sini, hari ini.

Anugerah Zaid bin Thabit itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan berangkat ke majlis sambutan bertemakan 'Rasulullah: Mengungguli Peradaban Umat' itu.

Sultan Nazrin tiba pada jam 10 pagi dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah, dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; barisan Exco kerajaan negeri, Ketua-ketua Jabatan, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd Halim; dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Majlis bermula jam 10 pagi itu dihadiri kira-kira 2,000 tetamu dengan acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, disusuli zikir Asma' al-Husna, bacaan al-Quran serta terjemahan, dan selawat secara beramai-ramai sebelum tetamu kehormat kenudiannya menghadiri majlis santapan.

Ahmad Zaini, 59, berasal dari Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar memulakan kerjayanya sebagai wartawan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1984 sebelum menyertai BH pada tahun 1991.

Beliau mengambil alih tugasan Pengarang Urusan Kumpulan mulai 11 Januari lalu di samping peranannya sebagai Pengarang Kumpulan BH.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan menyampaikan Anugerah Zaid Bin Thabit kepada Ahmad Zaini pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran.
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan menyampaikan Anugerah Zaid Bin Thabit kepada Ahmad Zaini pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian anugerah Tokoh Keluarga Mithali (Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir), Tokoh Pendakwah (Anugerah Ibnu Abbas), Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (Anugerah NGO), Tokoh Imam, Bilal, dan Siak (Anugerah Pegawai Masjid),

Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir dirangkul Kasanah Mukkeri, 79, dari Kampung Pauh, Behrang Stesyen, Behrang, Anugerah Ibnu Abbas (Amar Arif Ahmad Po'aad, 32 dari Ipoh), Anugerah NGO (Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM)).

Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Imam) dirangkul oleh pesara guru, Zainall Abidin Zulkifli, 72, dari Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Bilal) dirangkul oleh Hamzah Ramli, 70, dari Sungai Manik, manakala Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Siak) dirangkul oleh Muhammad Noor Abd Yaseh, 81, dari Teluk Sareh, Kampung Gajah.

Penerima Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir membawa pulang wang tunai RM5,000, plak, dan sijil manakala penerima anugerah lain membawa pulang wang tunai RM3,000, plak serta sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 12:39 PM