CHOK EE Meng, 44, didenda RM4,000 atas dua kesalahan iaitu menghalang tugas dan melanggar motosikal polis, dua tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
CHOK EE Meng, 44, didenda RM4,000 atas dua kesalahan iaitu menghalang tugas dan melanggar motosikal polis, dua tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor

Melaka: Seorang kontraktor didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan menghalang tugas dan melanggar motosikal anggota polis, dua tahun lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chok EE Meng, 44, yang menukar pengakuan kepada bersalah hari ini.

Tertuduh yang berasal dari Alor Gajah sebelum ini memohon dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Jika gagal membayar denda itu tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara 16 bulan bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas polis dengan cara melarikan diri dari pemeriksaan pada 26 Julai 2020, kira-kira 10 malam.

Bagi kesalahan Seksyen 186 Kanun Keseksaan itu dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar motosikal ditunggang anggota polis, Mohammad Khairul Hashim yang sedang menjalankan tugas hingga terjatuh dan cedera di Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Paya Rumput pada tarikh dan masa sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukan serius iaitu melanggar motosikal anggota polis bertugas hingga jatuh dan cedera.

Tertuduh diwakili peguam Ng Fun Boon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 3:31 PM