Najib Razak. FOTO BERNAMA
Najib Razak. FOTO BERNAMA
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikat terhadapnya adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Ini kerana pelaku sebenar di sebalik kerugian besar ditanggung syarikat pelaburan strategik negara itu, dikeluarkan daripada saman berkenaan.

Najib dalam pernyataan pembelaannya bagi menjawab tuntutan dikemukakan 1MDB berkata, adalah jelas melalui writ saman terpinda plaintif (1MDB), pelaku yang dinamakan dalam kes saman itu sebelum ini sudah dikeluarkan.

"Ini menimbulkan syak wasangka dan ketidakjujuran plaintif dalam kes saman ini. Justeru ini adalah satu penyalahgunaan proses," katanya.

Bagaimanapun, pernyataan pembelaan berkenaan tidak menyatakan nama pelaku yang dimaksudkan.

Najib berkata demikian melalui pernyataan pembelaan yang difailkan pada 28 Mac lalu terhadap saman 1MDB bagi menuntut AS$8 bilion daripadanya dan tujuh yang lain berikutan kerugian kewangan dialami syarikat berkenaan.

Selain 1MDB, turut bertindak sebagai plaintif ialah empat anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif.

Dalam saman itu, syarikat terbabit menamakan Najib; bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; bekas Ketua Pengarah Pelaburan 1MDB, Vincent Beng; bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB, Radhi Mohamad; bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jim; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Ia adalah salah satu daripada 22 saman sivil difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion (kira-kira RM96.3 bilion) bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International, terhadap beberapa individu didakwa terbabit skandal kewangan itu.

Menerusi writ saman itu, kesemua plaintif antara lain mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan staturori, menyalahgunakan kuasa, berkonspirasi serta menyeleweng dana 1MDB.

Najib, 68, sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib juga sedang dibicarakan bersama-sama bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasany, atas dakwaan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 3:16 PM