ANGGOTA APMM Selangor menahan sebuah bot bersama empat nelayan kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong. FOTO Ihsan APMM Selangor
ANGGOTA APMM Selangor menahan sebuah bot bersama empat nelayan kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong. FOTO Ihsan APMM Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Tindakan empat nelayan termasuk tiga warga asing menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan, mengundang padah selepas mereka diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pada kejadian 10.30 pagi itu, kesemua nelayan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan di kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong, di sini.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya mengesan bot dinaiki semua individu terbabit menerusi rondaan rutin Op Ehsan dan Op Benteng Laut.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu menggajikan kru warga asing dan melakukan aktiviti perikanan di bawah lima batu nautika di perairan Tanjong Karang.

"Bot itu dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong warga tempatan dan tiga warga Myanmar," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Siva Kumar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kita dimaklumkan warga Myanmar ini sudah bekerja di bot terbabit sekurang-kurangnya antara tiga hingga enam bulan.

"Mereka dipercayai dibayar kira-kira RM 2,000 untuk menangkap ikan zon larangan," katanya.

Justeru, katanya, bot bersama kru dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 10:10 AM