DATUK Seri M Saravanan pada sidang media mengenai Pengajian Pekerja Asing di  Wisma HRD Corp. FOTO Rohanis SHukri
DATUK Seri M Saravanan pada sidang media mengenai Pengajian Pekerja Asing di Wisma HRD Corp. FOTO Rohanis SHukri
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 179,451 permohonan pekerja asing bagi lima sektor akan diproses dan diluluskan dalam tempoh enam minggu lagi, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Lima sektor tersebut adalah pembinaan, pertanian, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 24,560 permohonan akan selesai temuduga pada 27 April ini manakala 154,891 permohonan lagi mendapat kelulusan dalam tempoh enam minggu.

"Setakat 7 April, Kementerian Sumber Manusia telah menerima sebanyak 519,937 permohonan pekerja warga asing sejak 15 Feb lepas dan daripada jumlah itu, lebih daripada 50 peratus permohonan iaitu sebanyak 290,939 permohonan pekerja warga asing masih lagi belum dihantar oleh 2,578 majikan yang memohon.

"Sebanyak 40,000 permohonan pula telah ditolak kerana tidak mengikut kelayakan, tidak lengkap dan menerima permohonan daripada sektor yang dibekukan seperti besi buruk, kedai emas, kedai pakaian dan kedai gunting rambut," katanya pada sidang media di Wisma HRD Corp di sini, hari ini.

Saravanan berkata semua permohonan untuk kemasukan pekerja asing dilaksanakan hanya secara dalam talian, tiada secara manual dan tidak melibatkan campur tangan menteri.

Mengenai kemasukan pembantu rumah Indonesia, beliau menjelaskan sekitar 10,000 orang akan dibawa masuk selepas Aidilfitri.

Beliau berkata gaji mereka akan dibayar bermula RM1,200 dan terpulang kepada majikan jika berhasrat membayar lebih sehingga RM1,500 susulan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Katanya, kemasukan pembantu rumah Indonesia adalah selaras dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta, baru-baru ini.

Beliau juga memaklumkan kerajaan akan berbincang dengan Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh bagi membawa masuk pembantu rumah daripada negara berkenaan.

Sementara itu, Saravanan juga akan memohon kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mempertimbangkan semula beberapa sektor yang telah dibekukan daripada pengambilan pekerja asing atas faktor keselamatan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa semua pekerja warga asing akan diwajibkan kursus induksi sebelum bekerja di Malaysia bagi memastikan mereka mendapat pendedahan mengenai aspek perburuhan dan hak pekerja supaya tidak ditindas atau didera oleh majikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:35 PM