SHAHIDAN. FOTO Arkib NSTP
SHAHIDAN. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberi jaminan penduduk Pangsapuri Sungai Baru di Kuala Lumpur tidak akan dipindahkan dan mengosongkan kediaman masing-masing Ramadan ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, rundingan bersama penduduk akan diteruskan bagi mencari titik penyelesaian berhubung kemelut itu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu termasuk media, tanpa melihat surat makluman yang bukannya notis itu.

"Tidak akan berlaku perpindahan dalam bulan puasa ini, tidak mungkin berlaku. Mana mungkin kita keluarkan notis mengarahkan penduduk pindah sebelum hari raya," katanya kepada media pada Program Nur Ramadan Bersama Sukarelawan Misi Bantuan Banjir, KWP dan Agensi 2021/2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan KWP Datuk Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Rosida Jaafar.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal yang menyiarkan berhubung dakwaan penduduk Pangsapuri Sungai Baru yang terkejut selepas menerima Borang K (notis pengosongan rumah), baru-baru ini.

Dalam laporan itu, seorang wakil penduduk memberitahu, ada antara mereka yang masih belum menerima pampasan sepenuhnya tetapi tetap diminta untuk mengosongkan rumah.

Shahidan berkata, tiada sebarang notis arahan perpindahan dikeluarkan, sebaliknya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) hanya mengeluarkan surat berhubung pengambilan tanah.

Katanya, rundingan antara pemaju dan penduduk akan berlangsung esok bagi membolehkan kerjasama dapat dibentuk bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 9:50 PM