- Foto hiasan
- Foto hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Tawaran komisyen sebanyak 10 peratus daripada harga barang dibeli di dalam talian.

Taktik itu berjaya mengaburi mata seorang doktor wanita apabila dia ditipu sindiket kerja sambilan menyebabkan mangsa kerugian lebih RM170,000.

Mangsa berusia 29 tahun itu mula diperdaya selepas berkenalan dengan seorang wanita yang menawarkan kerja sambilan membabitkan pemasaran digital di laman web pasar dalam talian pada 8 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (KSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa dikatakan diberi tujuh tugasan untuk membeli barang di laman web berkenaan dan dijanjikan komisyen selepas semuanya selesai.

"Mangsa yang berminat kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang diuruskan seorang lelaki dikenali sebagai Alex," katanya tadi.

Aibee berkata, mangsa diberikan tugasan pertama membeli barangan bernilai RM99 dan dia menerima komisyen sebanyak 10 peratus daripada modal dikeluarkan.

"Selepas itu mangsa diberikan tujuh tugasan lain. Mangsa kemudiannya membuat tujuh transaksi pada 9 April lalu kepada tujuh akaun milik individu berbeza dengan jumlah keseluruhan RM173,888," katanya.

Beliau berkata, doktor wanita itu dijanjikan akan menerima komisyen atas pembelian barang berkenaan pada 10 April.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas sindiket meminta supaya membuat pembayaran bagi perlindungan diri sebanyak RM74,875 untuk menebus modal dan komisyen dijanjikan itu," katanya.

Ulas Aibee, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati menerima tawaran pulangan wang yang tidak masuk akal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 2:25 PM