Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Isteri kepada anggota polis berputih mata apabila kerugian lebih RM20,000 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pelaburan atas talian.

Difahamkan, mangsa yang berusia 32 tahun itu dijanjikan akan menerima keuntungan yang banyak selepas melaburkan wang melalui satu pelaburan, namun sehingga ke hari ini tidak mendapat sebarang keuntungan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa terlebih dahulu diumpan untuk melakukan satu tugasan dan dibayar upah sebanyak RM230.

"Mangsa menerima satu mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali menawarkan untuk membuat kerja menerusi dalam talian pada 4 September lalu sebelum menurut arahan berkenaan keesokan harinya.

"Mangsa melakukan tugas berkenaan dari pagi hingga malam sebelum menerima bayaran sebanyak RM230," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu sekali lagi menerima mesej daripada nombor sama pada 6 September yang memperkenalkan satu pelaburan sebelum mangsa terpedaya dan membuat tujuh transaksi atas talian ke akaun seorang lelaki.

"Semua wang berjumlah RM20,800 dimasukkan ke akaun berkenaan dan mangsa dijanjikan akan dibayar dengan keuntungan yang banyak, namun sehingga ke hari ini belum mendapat sebarang bayaran.

"Mangsa pernah cuba menghubungi nombor berkenaan untuk meminta semula wang yang diserahkan, namun nombornya disekat sebelum berasa ditipu oleh pelaburan berkenaan lalu membuat laporan polis pada 8 September lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan. Saya juga menasihatkan suri rumah supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran seperti ini yang mengumpan mangsa dengan memberikan upah terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 1:58 PM