MOHAMAD Azmizan menikmati keindahan pelita buluh bersama keluarga di halaman rumahnya. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Azmizan menikmati keindahan pelita buluh bersama keluarga di halaman rumahnya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Marang: Kerinduan terhadap nostalgia Ramadan zaman kanak-kanak memberi cetusan idea kepada seorang pemandu lori untuk membuat pelita buluh bagi menggantikan lampu hiasan serta menambah seri rumah pada waktu malam sepanjang bulan mulia ini.

Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 38, berkata, dia tidak menyangka keunikan pelita buluh itu turut mencuri perhatian ramai dan mereka memintanya membuka tempahan kerana ia sukar didapati di pasaran pada masa ini.

"Saya buat pelita buluh ini pada Ramadan tahun lalu untuk mengisi masa lapang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara.

"Apabila saya muat naik gambar dan video di Facebook dan WhatsApp, ramai puji pelita buluh itu cantik dan unik. Saya dapat tempahan 500 batang buluh sepanjang Ramadan tahun lepas dan kini, saya semakin serius mengusahakannya sebagai sumber pendapatan sampingan," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Merchang di sini, semalam.

MOHAMAD Azmizan mengambil buluh minyak untuk dijadikan pelita buluh di sekitar Kampung Merchang. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Azmizan mengambil buluh minyak untuk dijadikan pelita buluh di sekitar Kampung Merchang. FOTO BERNAMA

Bagi melancarkan jualan pelita buluh, Mohamad Azmizan turut dibantu isteri, Rorida Awi, 38, dalam urusan tempahan dan rakannya Mohd Zulbaidillah Dzulkifli, 36, untuk menebang buluh minyak di sekitar kampung terbabit.

Kebiasaannya, Mohamad Azmizan dan Mohd Zulbaidillah keluar mencari buluh minyak di tanah milik penduduk pada waktu pagi dan lewat petang.

Namun, menurut Mohamad Azmizan keadaan cuaca yang tidak menentu pada bulan Ramadan kali ini agak mencabar, ditambah pula berhadapan ancaman haiwan berbisa seperti ular dan lipan yang menjadikan rongga buluh sebagai habitat.

MOHAMAD Azmizan melakukan kerja menebuk buluh untuk dijadikan pelita buluh. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Azmizan melakukan kerja menebuk buluh untuk dijadikan pelita buluh. FOTO BERNAMA

"Kami cari buluh selama dua jam dan jika lebih banyak tempahan, lebih banyak masa diperlukan. Selain individu, ada juga yang membeli secara borong untuk menjualnya semula.

"Pelanggan paling jauh yang pernah buat tempahan setakat ini ialah dari Sarawak dan selatan tanah air dan saya beri mereka nombor telefon pengusaha pelita buluh berdekatan untuk berkongsi rezeki," katanya yang sering menggunakan khidmat rakan pemandu lori untuk penghantaran.

PROSES membuat sumbu pelita menggunakan tin minuman aluminium dan tali untuk dijadikan pelita buluh. FOTO BERNAMA
PROSES membuat sumbu pelita menggunakan tin minuman aluminium dan tali untuk dijadikan pelita buluh. FOTO BERNAMA

Bapa dua anak itu berkata, harga pelita buluh yang dijualnya sangat berpatutan iaitu RM10 sebatang (tanpa kaki) manakala RM13 sebatang (dengan kaki) dan setiap batang buluh mempunyai tiga ruas dengan enam sumbu api pelita.

Menurutnya, setakat semalam dia mendapat tempahan lebih 300 pelita buluh termasuk daripada peserta pertandingan pelita raya yang sering dianjurkan kerajaan Terengganu setiap kali Ramadan.

MOHAMAD Azmizan mengikat pelita buluh yang ditempah pelang gan. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Azmizan mengikat pelita buluh yang ditempah pelang gan. FOTO BERNAMA

"Ramai pelik kenapa saya jual murah, tapi ikhlas saya beritahu kerana modal utama (buluh minyak) sangat mudah didapati di sekitar kampung ini.

"Paling penting saya mahu semua pembeli merasai keceriaan dan keseronokan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan hiasan lampu tradisional.

"Selain itu, niat saya nak perkenalkan semula tradisi lama nenek moyang kepada generasi muda dan saya turut ajar pembeli cara pasang sumbu dan nasihatkan mereka agar tidak mendedahkan pelita di kawasan terlalu panas atau kerap hujan agar ia tahan lama dan boleh digunakan sehingga tiga kali Ramadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 7:00 AM