EMPAT nelayan dari Kuala Kerteh menunjukkan empat ekor penyu yang ditemui terperangkap dalam pukat hanyut sebelum berjaya diselamatkan mereka. FOTO Rosli Ilham
EMPAT nelayan dari Kuala Kerteh menunjukkan empat ekor penyu yang ditemui terperangkap dalam pukat hanyut sebelum berjaya diselamatkan mereka. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


EMPAT ekor penyu diselamatkan sekumpulan nelayan selepas tersangkut pada pukat hanyut yang dipercayai ditinggalkan nelayan asing di kawasan 22 batu nautika dari Kuala Kerteh, Chukai, semalam.

Penyu berkenaan masing-masing dua ekor dari spesis Agar dan Karah dipercayai berusia antara empat hingga enam tahun itu, diselamatkan tekong bot nelayan, Wan Abdul Halim Wan Mohamad Dom, 43, bersama empat awak-awaknya kira-kira 1 tengah hari.

Menurut Wan Abdul Halim, dia bersama empat awak-awaknya ketika itu dalam perjalanan pulang selepas keluar memasang bubu.

Katanya, tiba di kawasan berkenaan dia melihat penyu terbabit terapung dalam keadaan terperangkap di dalam pukat itu.

"Kasihan melihat keadaan penyu itu menyebabkan saya bersama rakan bertindak melepaskannya. Tiga daripada empat ekor penyu itu kami lepaskan semula ke laut manakala seekor yang cedera dari spesis Agar kami bawa pulang ke jeti.

"Saya kemudian menyerahkan penyu Agar terbabit ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang, Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, dia juga tidak dapat mengangkat pukat yang ditinggalkan nelayan asing itu kerana sangat berat.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Penyu (FRI) Rantau Abang, Mohd Tarmimi Ali Ahmad berkata, penyu yang cedera terbabit diterima pihaknya kira-kira 10 pagi hari ini.

Menurutnya, penyu seberat 2.5 kilogram itu hampir putus sirip belakangnya dan sudah diberi rawatan segera sejurus diserahkan kepada pihaknya.

"Kita akan merawat penyu terbabit sehingga sihat sepenuhnya sebelum melepaskannya semula ke laut," katanya.

Mohd Tarimimi berkata, pihaknya berterima kasih kepada nelayan terbabit yang membantu menyelamatkan penyu dan berharap tindakan itu dijadikan contoh kepada semua nelayan lain.

Menurutnya, pihaknya mahu nelayan yang menemui penyu tersangkut di pukat agar dapat melepaskan semula dan sekiranya ada tercedera supaya menghubungi pihak berkaitan dengan segera untuk diambil tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 8:04 PM