ORANG ramai berkunjung ke Bazar Ramadan Jalan Raja Alang Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk membeli juadah berbuka puasa. Bazar Ramadan Jalan Raja Alang Kampung Baru terkenal dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual peniaga bazar ketika  Ramadan. FOTO BERNAMA
ORANG ramai berkunjung ke Bazar Ramadan Jalan Raja Alang Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk membeli juadah berbuka puasa. Bazar Ramadan Jalan Raja Alang Kampung Baru terkenal dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual peniaga bazar ketika Ramadan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Setiap kali tibanya Ramadan antara yang menjadi tumpuan ialah bazar Ramadan kerana pelbagai jenis juadah berbuka puasa daripada tradisional hinggalah moden boleh didapati dan dibeli.

Tinjauan di KUALA LUMPUR semalam mendapati warga kota tidak melepaskan peluang ke Bazar Ramadan Kampung Baru, seawal jam 3 petang meskipun hujan renyai.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah Hadi memberitahu, beliau seronok melihat orang ramai daripada pelbagai kaum datang ke bazar dan menyifatkan sebagai satu keunikan yang hanya ada di Malaysia.

Peniaga Ayam Bakar Madu Hanafi Mat Dom, 47, pula berkata, gerainya yang menjual tiga ketul kepak ayam madu pada harga RM5 dikunjungi pelanggan seawal jam 2 petang sebaik memulakan perniagaan.

Di NEGERI SEMBILAN, hujan renyai tidak menghalang penduduk sekitar berkunjung ke bazar Ramadan Bandar Sri Sendayan, Seremban seawal jam 5 petang bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa termasuk kuih-muih.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, seramai 103 pegawai penguat kuasa ditugaskan di 52 bazar Ramadan seluruh negeri untuk aktiviti pemantauan khususnya harga barangan.

Di MELAKA, hujan tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi Pasar Ramadan Merlimau di Jasin, bagi mendapatkan pelbagai aneka juadah sempena Ramadan tahun ini.

PENGUNJUNG membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
PENGUNJUNG membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD

Seorang peniaga begedil, Adhwa Khairunnisa, 21, berkata, suasana pasar Ramadan tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini, ketika pandemik Covid-19 melanda.

Di KEDAH, walaupun cuaca panas terik, ia tidak menghalang orang ramai untuk datang membanjiri bazar Ramadan di Stadium Darul Aman, Alor Setar seawal jam 3.30 petang.

Ketua Bahagian Pasar dan Penjaja Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jazilah Jalaludin berkata, sebanyak 192 gerai menjual pelbagai makanan dan minuman beroperasi bermula jam 3 petang hingga 7 malam sepanjang bulan Ramadan ini.

"Selain makanan dan minuman, terdapat 70 gerai menjual pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu di bazar ini," katanya, semalam.

Di PULAU PINANG, jualan menu Rahmah di Bazar Ramadan di pekarangan Masjid Umar Ibnu Al-Khattab, Bayan Baru mendapat sambutan tinggi pengunjung semalam.

ORANG ramai beratur bagi mendapatkan bubur lambuk untuk juadah berbuka di Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu kota. Bubur lambuk Masjid India sememangnya popular dalam kalangan warga kota khususnya umat Islam setiap kali menjelang Ramadan. FOTO BERNAMA
ORANG ramai beratur bagi mendapatkan bubur lambuk untuk juadah berbuka di Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu kota. Bubur lambuk Masjid India sememangnya popular dalam kalangan warga kota khususnya umat Islam setiap kali menjelang Ramadan. FOTO BERNAMA

Peniaga nasi berlauk, Kadir Jamaludin, 42, berkata, beliau menawarkan menu Rahmah pada harga RM5, tetapi tetap memastikan bahagian makanan yang ditawarkan memuaskan.

"Saya menawarkan set nasi, lauk dan sayur. Seawal jam 4 petang, sambutan daripada orang ramai adalah tinggi," katanya yang menyokong usaha kerajaan dalam menawarkan menu Rahmah itu untuk memberi harga yang rendah pada keadaan ekonomi yang kurang stabil ini.

Di TERENGGANU, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan Shahbandar, Batu Buruk dan Batu Enam mendapati pengunjung mula membanjiri lokasi berkenaan seawal jam 4.30 petang.

Seorang peniaga ayam pusing madu Sarawak di Bazar Ramadan Shahbandar, Zaizuri Zahid, 46, berkata, dia yang bekerja swasta bercuti selama sebulan, untuk menumpu sepenuh perhatian kepada perniagaan yang diusahakan sejak 2002 setiap Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 7:01 AM