ZAIDI menunjukkan ayam yang siap dibakar. FOTO Samadi Ahmad
ZAIDI menunjukkan ayam yang siap dibakar. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya:Ayam bakar tempayan 'champion' antara juadah yang menjadi tarikan apabila berkunjung ke bazar Ramadan Presint 3, di sini.

Peniaga, Zaidi Alamin Fuad, 40,dari Gombak berkata, tahun ini adalah kali ke sembilan dia berniaga di bazar itu dan masakan ayam bakar itu disediakan melalui resipinya sendiri.

Menurutnya, sambutannya sangat menggalakan kerana ia sudah dikenali pelanggan.

Katanya,ayam ini perlu diperap dengan rempah ratus yang disediakan antara lima hingga enam jam sebelum dibakar di dalam tempayan menggunakan dapur gas selama 45 minit supaya ia betul-betul masak dan mengeluarkan bau haruman rempah.

"Setiap hari saya menjual lebih kurang 200 ekor ayam yang dibakar menggunakan lima pasu besar mengambil tempoh tiga jam habis dijual," katanya.

Zaidi berkata, beberapa perasa disediakan seperti 'western' (barat), lada hitam, oregano dan lemon manakala pelanggan akan mula beratur hendak beli ayam tempayan ini mulai 4.30 petang.

Sementara itu, ada pelanggan tetap membuat pesanan awal bagi mengelak kehabisan.

Menurutnya, pada tahun ini ayam itu dijual pada RM24 seekor dengan menggunakan ayam bersaiz lebih besar.

Katanya,ayam bakar tempayan ini hanya dijual setahun sekali sahaja di bazar Ramadan ini kerana pada waktu lain dia mengusahakan jualan cendawan goreng dan nasi goreng cendawan di pasar tani di Presint 2 setiap Selasa dan Jumaat.

"Saya berharap kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kerajaan dapat memberi peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan semula selepas dua tahun menghadapi kesukaran berhadapan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 1:05 PM