Natrah Laili Abdul Aziz

Kuala Lumpur: "Apabila dapat berpuasa untuk pertama kali tahun ini, ia satu perasaan yang tidak dapat digambarkan," kata mualaf, Ahmad Andrew, 37 yang memeluk Islam sejak tiga bulan lalu.

Ahmad yang berketurunan Iban dan berasal dari Sarawak menceritakan pertama kali berpuasa ketika Ramadan sebagai mualaf adalah satu pengalaman yang menakjubkan untuk dirinya.

"Sebelum saya memeluk Islam, saya tidak pernah cuba berpuasa, tetapi tahun ini sangat berbeza apabila dapat berpuasa buat pertama kali.

"Saya sangat teruja untuk bangun pagi dan bersahur malah saya juga seronok menunggu azan berkumandang yang menandakan waktu untuk berbuka puasa.

"Saya berkesempatan untuk tarawih bersama penuntut Darul Fitrah buat pertama kali dan berasa sebak. Saya sangat bersyukur dapat menunaikan kewajipan berpuasa sebagai umat Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad berkata, dia tidak memeluk Islam kerana disuruh orang lain, namun berbuat demikian dengan rela hati memandangkan baginya Islam adalah agama yang lengkap.

Katanya, apabila memeluk Islam, hidupnya kini lebih tenang.

"Dulu hidup saya tidak tentu arah dan saya seperti tiada tujuan hidup," katanya yang mula mendalami Islam sejak bangku sekolah.

Sementara itu, Mohd Adam Abdullah, 41 berkata, Ramadan kali ini adalah tahun keempat baginya untuk menjalani kewajipan berpuasa sebagai mualaf.

"Sebelum memeluk Islam, saya tidak pernah cuba berpuasa dan saya pelik bagaimana orang boleh tahan nafsu makan dan minum.

"Namun, apabila saya berpuasa saya dapat biasakan diri berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga.

Katanya, dia dapat melihat jelas perubahan kehidupan sebelum dan selepas memeluk Islam, selain sudah boleh membaca al-Quran.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Datuk Keramat, Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, mengikut rekod PERKIM seramai 15 mualaf yang berpuasa buat kali pertama tahun ini.

"Pihak kami menyediakan bantuan seperti kelas bimbingan panduan berpuasa, tazkirah dan taklimat untuk saudara Islam baru.

"PERKIM turut memberi bantuan kewangan bulanan RM400 sepanjang Ramadan, berbuka puasa bersama, bantuan baju raya serta pek sahur dan iftar yang disediakan setiap sepanjang Ramadan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:45 PM