PENIAGA Zam Ayam Golek di Air Baloi mengekalkan harga hidangan itu sejak dua tahun lalu walaupun harga ayam mentah dan bahan lain semakin melambung di pasaran. FOTO Farid Noh
PENIAGA Zam Ayam Golek di Air Baloi mengekalkan harga hidangan itu sejak dua tahun lalu walaupun harga ayam mentah dan bahan lain semakin melambung di pasaran. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh

Pontian: Walaupun harga ayam dan bahan mentah lain semakin mahal, seorang pengusaha ayam golek di Air Baloi, di sini, masih mengekalkan harga hidangan istimewa sempena Ramadan itu seperti dua tahun lalu.

Pengusaha Zam Ayam Golek, Hairulzam Saat, 52, berkata dia masih mengekalkan harga lama ayam golek yang dijualnya bagi membolehkan pelanggannya terus menikmati keenakan hidangan istimewa berkenaan pada harga lama.

Katanya, harga ayam goleknya kekal pada harga RM24 seekor manakala RM12 untuk separuh ekor.

"Memang harga ayam semakin mahal malah harga mentah lain pun turut naik, namun saya tidak akan naikkan harga hidangan istimewa yang mempunyai ramai peminat ini.

"Jika dua tahun lalu, iaitu negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harga ayam ketika itu tidak melebihi RM6 sekilogram pun tetapi ketika ini ia hampir RM10 sekilogram.

"Begitu juga kos bahan mentah lain turut naik, namun saya mengekalkan ramuan asal dengan gabungan 18 rempah termasuk gabungan lada kering, bawang, serai, halia dan madu bagi memastikan pembeli dapat terus menikmati keenakan ayam golek dan tidak kecewa apabila harga dinaikkan," katanya ketika ditemui.

Hairulzam berkata, dia dan pekerjanya menyediakan antara 200 hingga 300 ayam mentah sehari yang diperap dengan rempah istimewa bagi dibeli pelanggan sepanjang Ramadan ini.

"Ayam sudah diperap awal bagi membolehkan rempah meresap ke dalam daging sebelum dibakar dengan arang menggunakan dua mesin pembakar khas.

"Alhamdulillah, ayam golek yang dihasilkan saya dan pekerja mempunyai peminat setia termasuk daripada Johor Bahru, Kluang, Simpang Renggam, Batu Pahat, Pontian, Bukit Batu dan Kulai, yang sanggup beratur bagi membelinya," katanya.

Sementara itu, pembeli bazar di Bazar Ramadan Air Baloi,Nor Azura Md Amin, 36, berharap penjual di bazar Ramadan sentiasa menjaga kualiti makanan yang dijual selain harganya yang munasabah.

"Nampaknya harga makanan di sini masih sama seperti tahun lalu, cuma untuk kuih saiz dikecilkan sedikit kerana peniaga memaklumkan harga tepung dan telur yang naik mendadak.

"Pembeli tidak kisah jika ia dikecilkan tapi kualiti terutama rasanya mestilah dijaga dan tidak dikurangkan ramuannya pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 5:48 PM