ANTARA sajian enak menanti.
ANTARA sajian enak menanti.

Bertemakan Selera Desa, bufet buka puasa di Saffron Brasserie, Hotel Ancasa Royale Pekan menyajikan hampir 200 jenis hidangan sepanjang Ramadan ini.

Ia meliputi masakan kampung seperti ikan patin masak tempoyak, gulai ayam kerisik, kari kambing serta sambal hitam dan pelbagai jenis ulam termasuk daun pegaga dan kacang kelisa.

Selain itu, turut disediakan kambing panggang golek, sup gear box, nasi kandar, nasi beriani serta bubur lambuk.

Chef Eksekutifnya Azmi Abdul Ghani berkata, sajian tradisional Pahang masih menjadi tarikan utama juadah buka puasa sekali gus mempromosikan sajian itu kepada pengunjung yang pertama kali bertandang ke negeri ini.

Uniknya, kambing golek diperap selama dua hari sebelum dipanggang menggunakan yogurt dan pelbagai rempah ratus tradisional untuk melembut­kan daging dan menimbulkan aroma wangi dan membangkitkan selera.

“Semua ramuan dan rempah-ratus yang digunakan dalam penyediaan makanan dibuat sendiri oleh barisan tukang masak berpengalaman,” katanya.

Pelbagai sajian pemanis mulut pula termasuk kek lobak, kek keju strawberi, sira labu, tapai ubi, tapai pulut, lepat pisang, kuih koci dan ais kacang.

Minuman sejuk dan panas seperti air kurma, bandung ros, longan, soya, ais kacang, kopi dan teh dihidangkan sebagai pilihan pelang­gan.

“Bagi selera antarabangsa, kami menyediakan pelbagai jenis pasta dan roti serta peminat makanan laut pula disajikan dengan udang, sotong, tiram dan ikan yang digoreng atau dipanggang menggunakan perencah dan rempah-ratus dihasilkan sendiri,” katanya.

Buffet ditawarkan pada harga RM75 untuk dewasa dan RM45 bagi kanak kanak berusia antara empat hingga 12 tahun serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Kadar istimewa diberikan kepada pembeli baucar untuk tempahan awal sehingga 15 Jun iaitu RM60 dewasa dan RM45 bagi kanak-kanak dan warga emas.

Tetamu juga diperde­ngarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran secara langsung oleh pelajar dari Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan dan boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di surau yang disediakan.

Untuk keterangan lanjut, hubungi 09-4246600 atau laman web www.facebook.com/AncasaRoyalePekan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 3:02 PM