GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 52,449 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun sudah mendapatkan suntikan vaksin di Pahang menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sehingga 30 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah Cameron Highlands mempunyai liputan PICKids tertinggi sebanyak 42.1 peratus.

Katanya, daerah lain yang mempunyai liputan bawah 20 peratus ialah Rompin sebanyak 18 peratus, diikuti Maran (16.1 peratus) dan Pekan (16 peratus).

"Secara keseluruhannya, liputan itu masih rendah walaupun hampir dua bulan PICKids berlangsung di negeri ini.

"Bagi vaksin dos penggalak (VDP), seramai 604,829 penduduk Pahang sudah menerimanya iaitu pada kadar 57.3 peratus sehingga 30 Mac lalu.

"Daerah Cameron Highlands mempunyai liputan tertinggi sebanyak 67.6 peratus manakala Pekan merekodkan liputan terendah iaitu 40.5 peratus," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengenai fasa peralihan endemik yang bermula 1 April lalu, beliau berkata, peranan komuniti amat penting supaya masyarakat dapat menjalani kehidupan secara sihat dan selamat walaupun virus Covid-19 masih berada dalam persekitaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 12:38 PM