Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Cameron Highlands: Biarpun cuti umum, kawasan peranginan tumpuan, Cameron Highlands lengang dengan kehadiran pengunjung selain aliran trafik turut lancar apabila kurang kenderaan di jalan raya.

Tinjauan sempena sambutan perayaan Thaipusam hari ini mendapati kawasan Ringlet, Tanah Rata, serta pekan Brinchang di Cameron Highlands lengang dengan kenderaan baik di atas jalan raya mahupun yang diparkir di petak disediakan.

Malah premis seperti kedai makan serta premis penginapan hotel bajet di sekitar pekan Brinchang juga lengang dengan kehadiran pengunjung.

Pengusaha restoran di Brinchang, Mohd Hasrul Syukri, 34, berkata, situasi sedemikian bukan hanya terjadi hari ini sebaliknya berlaku sejak hujung tahun lalu ketika negara digemparkan dengan beberapa siri insiden tanah runtuh yang meragut nyawa.

Beliau berkata, keadaan itu dilihat bertambah parah susulan fenomema banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Pahang sejak bulan lalu, sekali gus memberi tamparan hebat kepada perniagaan restoran yang diusahakannya.

"Mula jadi macam ini (lengang) sejak kejadian tanah runtuh hujung tahun lalu, ditambah dengan banjir yang sedikit-sebanyak menjejaskan laluan dari Pahang iaitu di Raub dan Bentong untuk 'naik' ke Cameron Highlands.

"Terlalu banyak info mengenai tanah runtuh di Cameron Highlands yang disebarkan melalui media sosial, mungkin menjadikan orang (pengunjung) luar takut untuk ke sini, sekali gus turut memberi tekanan kepada peniaga," katanya sewaktu ditemui di sini, hari ini.

Keadaan lengang serta trafik lancar di Tanah Rata, Cameron Highlands walaupun pada hari cuti umum, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Keadaan lengang serta trafik lancar di Tanah Rata, Cameron Highlands walaupun pada hari cuti umum, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Katanya, berbeza dengan situasi ketika sektor pelancongan kembali beroperasi sejurus kelonggaran Pelan Pemulihan Negara (PPN) beberapa bulan lalu yang menyaksikan limpahan pelancong mengunjungi Cameron Highlands sehingga aliran trafik sesak, keadaan semasa kini adalah sebaliknya.

Beliau berkata, malah perniagaannya juga mengalami penyusutan keuntungan sehingga 90 peratus berbanding biasa.

"Ia (penyusutan) berlaku termasuk pada hari yang lazimnya ramai pelancong termasuk semasa perayaan Krismas dan Tahun Baharu. Sedangkan seharusnya hari cuti umum sedemikian yang sepatutnya mendatangkan lebih rezeki kepada kami.

"Katakanlah keuntungan yang patut saya terima sempena sambutan Krismas lalu adalah RM5,000, namun yang berjaya saya capai hanya kurang daripada RM1,000," katanya.

Sementara bagi pekerja di pasar raya mini dekat Brinchang, Speedy Ujoh, 41, mengakui situasi sama berlaku apabila keadaan sekitar lengang sejak kejadian tanah runtuh hujung tahun lalu.

"Bukan hari ini sahaja lenggang, tapi sejak kejadian tanah runtuh dan mungkin juga kerana banjir 'di bawah'. Kereta tiada (kurang), hotel bajet sekitar pun macam tiada orang.

"Mungkinlah mereka yang berani ambil risiko atau yang tidak terjejas banjir sahaja yang boleh ke sini buat masa sekarang," katanya.

Terdahulu, media melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh yang meragut dua nyawa pada 2 Disember tahun lalu selepas kenderaan dipandu mereka ditimbus runtuhan tanah di Laluan di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Beberapa siri runtuhan tanah dilaporkan juga berlaku di laluan alternatif iaitu Jalan Tapah-Ringlet, Cameron Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:54 PM