Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu. FOTO Ihsan SPRM
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu. FOTO Ihsan SPRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM80,000 terhadap seorang lelaki selepas mengaku salah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membekalkan peralatan pejabat di sebuah jabatan di negeri ini.

Tertuduh, Koh Mui Huck, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan, Mui Huck didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu surat daripada sebuah syarikat bertarikh 6 Jun 2017 yang diketahuinya sebagai palsu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, pada 7 Jun 2017.

Dokumen itu digunakan untuk tujuan menipu bagi perkhidmatan membekal dan menghantar pelbagai jenis dakwat pencetak bagi kegunaan JPN.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang bekerja sendiri mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif dan mahkamah menjatuhkan hukuman RM80,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara selama enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili peguam Chong Kian Ming.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 4:04 PM