LOKASI kejadian tanah runtuh di Kampung Kemensah Hulu Klang dan Kampung Warisan, Taman Melawati, Ampang. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian tanah runtuh di Kampung Kemensah Hulu Klang dan Kampung Warisan, Taman Melawati, Ampang. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Sebanyak lima rumah didiami 12 orang terjejas susulan dua tanah runtuh di Kampung Kemensah Hulu Klang dan Kampung Warisan, Taman Melawati di sini, semalam.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 6.29 petang sebelum sepasukan anggota ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

"Dalam kejadian di Kampung Kemensah Hulu Klang mendapati empat rumah terbabit tanah runtuh yang mana rumah pertama dihuni enam orang berusia lima hingga 41 tahun rosak sebahagian akibat ditimpa tanah runtuh.

"Rumah kedua dihuni dua orang berusia 67 dan 68 serta dua lagi rumah tiada penghuni tidak mengalami kerosakan. Kesemua penghuni sempat menyelamatkan diri sebelum runtuhan berlaku.

"Siasatan mendapati rumah berkenaan dibina secara haram berdekatan sungai dan lereng bukit. Kawasan bukit ditebas untuk aktiviti berkebun dan terdapat beberapa rumah dibina untuk disewakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut membuat pemeriksaan di lokasi dan menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) kepada penghuni terjejas, tetapi kesemua mereka memilih untuk tinggal sementara di rumah saudara berdekatan.

Bagi kejadian di Kampung Warisan, Mohamad Farouk berkata, sebuah rumah yang didiami empat sekeluarga terkena sisa runtuhan di bahagian belakang rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan bersama pihak jurutera MPAJ mendapati kejadian disebabkan kerja baik pulih jalan menuju ke empangan Klang Gate.

"Hujan lebat menyebabkan air hujan membawa sisa pembinaan sehingga ke belakang rumah mangsa. Ketika kejadian hanya suami isteri berada di rumah manakala dua anak keluar bekerja," katanya.

Beliau berkata, penilaian jurutera MPAJ mendapati tiada sebarang kejadian tanah runtuh dan kerosakan berlaku namun polis menasihati penghuni supaya keluar dari rumah demi keselamatan dan mereka bersetuju mengosongkan kediaman dengan tinggal sementara di rumah saudara.

Tambah beliau, MPAJ akan membuat pemantauan dan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 6:02 PM