LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Pihak berkuasa mengambil langkah awal dengan meletakkan plastik kanvas bagi menutup kawasan tanah di lereng bukit yang mengalami tanah runtuh di Taman Halaman, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 2.26 pagi tadi.

"Kami dimaklumkan terdapat sebuah rumah banglo lima tingkat dengan tanah bahagian belakang kediaman itu menggelongsor menyebabkan dinding dapur pecah dan dimasuki tanah.

"Kawasan rumah yang terkesan adalah jenis banglo yang terdapat sembilan kediaman rumah dibina di lereng bukit berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, cuaca hujan lebat berterusan menyebabkan air berlumpur mengalir sehingga ke hadapan rumah.

"Penghuni rumah itu sudah berpindah ke rumah lain selepas kejadian. Pihak polis juga ada membuat kawalan di hadapan rumah itu dengan meletakkan sebuah van Balai Polis Bergerak.

"Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat turut hadir untuk membuat pemeriksaan.

"Tindakan awal meletakkan plastik kanvas sudah dilakukan untuk menutup kawasan tanah di lereng bukit yang terkesan. Tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian ini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo didiami di Taman Halaman, di sini, ditimpa tanah runtuh menyebabkan sebahagian dinding bahagian belakang rumah itu roboh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa yang terselamat adalah lelaki dan isterinya masing-masing berusia 39 tahun serta anak mereka berusia 11 tahun.

Berita berkaitan

Tanah runtuh di banglo: Tiga beranak terselamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 6:42 PM