Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang: Cerucuk besi akan dibina untuk menghentikan segera pergerakan tanah yang berlaku secara aktif di lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights di sini, yang menjejaskan 19 rumah termasuk tiga banglo membabitkan 32 keluarga.

Laporan teknikal runtuhan itu akan disediakan dalam tempoh tiga hari untuk kerajaan memikirkan kaedah penyelesaian yang selanjutnya dalam kadar segera.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu perlu disegerakan sebelum beralih kepada kerja penstabilan cerun bukit di lokasi tanah runtuh itu.

Menurutnya, beliau sudah mendapat maklumat mengenai kejadian tanah runtuh lewat malam tadi sebelum turun ke lapangan meninjau sendiri kesan yang menyebabkan berlaku kejadian tidak dijangka itu untuk mengambil langkah segera selepas berbincang dengan Pegawai Daerah Gombak dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Dalam taklimat tadi saya dimaklumkan kejadian berlaku sekitar 9.30 malam membabitkan tiga lot banglo yang serius berlaku tanah runtuh di belakang rumah berkenaan sebelum menyebabkan sungai yang mengalir di belakang rumah itu tertimbus dan air sungai melimpah ke kawasan perumahan yang membabitkan 16 unit 'town house'.

"Pihak keselamatan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Mineral dan Geosains sudah menasihatkan dan mengarahkan penduduk segera mengosongkan premis dan ditempatkan di beberapa dewan orang ramai di AU2 dan AU5 buat sementara waktu," katanya ketika ditemui selepas turun meninjau lokasi kejadian hari ini.

Azmin berkata, ketika ini laporan yang dibentangkan mendapati ada keperluan segera untuk membina 'sheet pile' atau cerucuk besi bagi menghentikan pergerakan tanah yang berlaku di lokasi sejak semalam dan beliau sangat bimbang cuaca hujan ketika ini supaya perkara sama tidak berulang.

"Mengikut laporan MPAJ mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk membina cerucuk besi berkenaan untuk menghentikan pergerakan tanah di lokasi kejadian.

"Saya sudah menghubungi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk melihat bagaimana Kerajaan Persekutuan membantu pihak berkuasa tempatan dalam perkara ini," katanya

Mohamed Azmin melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang Jaya hari ini. Foto Fathil Asri
Mohamed Azmin melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang Jaya hari ini. Foto Fathil Asri

Beliau berkata, oleh kerana lokasi berlakunya tanah runtuh adalah lot hak milik persendirian maka beliau mengambil pendirian Kerajaan Persekutuan akan bersama PBT dan kerajaan Selangor untuk membantu penduduk.

"Bagi kerajaan, keselamatan dan nyawa penduduk adalah penting dan sentiasa menjadi keutamaan untuk dilindungi setiap masa dari malapetaka seperti ini dan untuk penduduk yang tinggal di town house, Jabatan Mineral dan Geosains memerlukan tiga hari untuk menyiapkan laporan kajian sama ada kediaman ini selamat didiami atau sebaliknya.

"Pada ketika ini laporan awal menunjukkan struktur bangunan masih kukuh serta tiada pergerakan tanah berlaku yang mana ia hanya membabitkan limpahan tanah yang menimbus sungai itu dan tertakluk kepada dapatan laporan yang akan dikemukakan dalam tiga hari.

"Sekiranya laporan ini mendapati bangunan selamat didiami, penduduk akan dibenarkan balik ke rumah masing-masing dan sangat berharap sepanjang tempoh ini penduduk terus memberikan kerjasama dan sabar membolehkan pihak agensi kerajaan mengambil tindakan untuk menjamin keselamatan penduduk," katanya.

Ditanya mengenai sebarang bentuk bantuan yang akan disalurkan Kerajaan Pusat kepada keluarga terjejas, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, beliau percaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PBT akan menyalurkan bantuan keperluan biasa di tempat persinggahan seperti makan minum.

Namun katanya, keadaan di tapak tanah runtuh itu menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan pergerakan tanah tidak berlaku dan kawasan cerun lokasi kejadian perlu distabilkan semula.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:58 PM