Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohamad Ashyiq Haqimi

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri, Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tetap bersetuju meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi memenuhi keperluan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan membabitkan ketiga-tiga pihak yang sudah diadakan beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, persetujuan itu juga dicapai hasil perbincangan membabitkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed sebanyak dua kali.

"Apa yang penting bagi kita kapal-kapal ini dapat memenuhi keperluan dan diserahkan kepada TLDM.

"Selain itu, kita mahu memastikan syarikat yang terbabit dengan pihak berkepentingan dapat pembelaan lebih-lebih lagi mereka yang bekerja sebagai vendor terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Jika ia tidak diselesaikan, mungkin menjejaskan kedudukan kewangan kita sendiri dan membawa kesan kepada pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," katanya.

Hishammuddin Hussein ketika sidang media di Pameran DSA dan NATSEC Asia di MITEC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Asyraf Hamzah
Hishammuddin Hussein ketika sidang media di Pameran DSA dan NATSEC Asia di MITEC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Asyraf Hamzah

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, kapal LCS berdepan kelewatan yang berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

Proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata, perbincangan antara beliau dan rakan sejawat dari Perancis, Florence Parlyakan diteruskan pada masa akan datang bagi mendapatkan pandangan dari negara berkenaan.

"Yang lebih penting untuk kita di Malaysia adalah memutuskan hala tuju penyelesaian LCS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:26 PM