Sirajuddin (kiri) ketika bertemu dengan Dr Amru yang berlepas ke UK di KLIA hari ini. Foto Ihsan Jakim
Sirajuddin (kiri) ketika bertemu dengan Dr Amru yang berlepas ke UK di KLIA hari ini. Foto Ihsan Jakim
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Negeri Sembilan Dr Amru Al Haz Adnan dipilih sebagai seorang imam solat tarawih di Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom (UK) sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, Dr Amru adalah bekas Imam Besar Masjid Negara yang mendapat pendidikan di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Menurutnya, Dr Amru juga adalah lulusan ijazah sarjana muda di Universiti Al Azhar, Mesir dan Universiti Malaya (UM) peringkat Ijazah Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) pernah menjadi pensyarah di Darul Quran.

Katanya, selain memimpin solat tarawih, beliau juga diminta untuk menjadi tenaga pengajar asas tahfiz al-Quran di universiti berkenaan.

"Program penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri ini diadakan menerusi kerjasama Jakim dan Pusat Islam Oxford hasil inisiatif dan persetujuan bersama felo Pusat Pengajian Islam Oxford Datuk Dr Afifi Al Akiti.

"Program ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan universiti terbaik dunia itu kepada Jakim dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di peringkat antarabangsa," katanya menerusi Facebook rasmi Jakim ketika mengucapkan selamat berlepas kepada Dr Amru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 11:05 PM