DR Amru Al Haz dan keluarga. FOTO ihsan Dr Amru Al Haz Adnan
DR Amru Al Haz dan keluarga. FOTO ihsan Dr Amru Al Haz Adnan
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya teruja kerana peluang sebegini jarang diperoleh namun saya kena buktikan bahawa pemilihan ini adalah tepat, jadi saya kena bersedia daripada semua aspek," kata Dr Amru Al Haz Adnan, 41.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Negeri Sembilan itu dipilih sebagai imam solat tarawih di Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom (UK) sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, beliau perlu buktikan tugas dan amanah yang bakal dilaksanakan sebagai imam utama solat tarawih dengan membawa bacaan 30 juzuk al-Quran secara khatam.

"Saya melihat pemilihan ini adalah satu amanah yang besar sebab kita membawa imej negara di sana.

"Jadi, saya kena buat persiapan dari segala aspek termasuk daripada sudut bacaan, penyampaian, sebutan dan keyakinan ketika mana bacaan dilafazkan.

"Tugas lain saya ketika berada di sana mungkin mengajar tajwid dalam kumpulan atau kelas dan berkongsi khusus berkaitan hafazan dan beberapa perkara lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan itu, Dr Amru berkata, beliau ditemuduga oleh felo Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr Afifi Al Akiti dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Bekas Imam Besar Masjid Negara yang mendapat pendidikan awal di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor itu berkata, beliau tidak menyangka Dr Afifi bersetuju untuk menerima calon imam di universiti berkenaan.

"Jadi peluang yang diberikan oleh Dr Afifi ini adalah salah satu langkah yang baik selain untuk kita mengetengahkan rakyat Malaysia yang berpotensi.

"Selain itu, ianya juga adalah kesan daripada hubungan baik terjalin antara universiti itu dengan negara ini khususnya dengan Jakim sejak sekian lama," katanya.

Dr Amru juga adalah lulusan ijazah sarjana muda di Universiti Al Azhar, Mesir dan Universiti Malaya (UM) peringkat Ijazah Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) serta pernah menjadi pensyarah di Darul Quran.

Terdahulu, Sirajuddin berkata, selain memimpin solat tarawih, beliau juga diminta untuk menjadi tenaga pengajar asas tahfiz al-Quran di universiti berkenaan.

Sirajuddin berkata, program penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri ini diadakan menerusi kerjasama Jakim dan Pusat Islam Oxford hasil inisiatif dan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

"Program ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan universiti terbaik dunia itu kepada Jakim dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di peringkat antarabangsa," katanya menerusi Facebook rasmi Jakim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 12:49 PM