Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 yang akan berlangsung pada 28 hingga 31 Mac tahun depan memberi peluang kepada kerajaan untuk membuktikan kepimpinannya kepada negara luar.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa komited dengan memberi sokongan dan promosi di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Ia berdasarkan pengalaman peribadi saya bertemu rakan sejawat dari seluruh dunia sebelum yang hanya dilakukan melalui persidangan video dan sidang kemuncak maya.

"Kita mengambil pendekatan yang berhati-hati dan selamat, saya memuji penganjur kerana mengambil inisiatif untuk menjalankan siri DSA dan NATSEC Asia sebagai acara hibrid yang pertama bersejarah sejak dimulakan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran DSA 2022 dan NASTEC 2022 di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, selaras dengan norma baharu, kemajuan teknologi dan ketersambungan, DSA dan NATSEC 2022 akan dilengkapi dengan platform maya sebagai komponen nilai tambah untuk membantu peserta mengakses kandungan sebelum, semasa dan selepas persembahan

Sehingga kini, kira-kira 70 peratus daripada tempahan ruang di DSA 2022 dan NATSEC 2022 sudah disahkan.

Kedua-dua pameran itu akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Lebih 1,170 syarikat daripada sektor pertahanan dan keselamatan global dari lebih 54 negara dan wilayah dijangka hadir termasuk 37 pavilion antarabangsa membabitkan kira-kira 350 delegasi VIP daripada 45 negara dan 40,000 pelawat dari 50 negara dan wilayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:21 PM