Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mana-mana peniaga yang didapati melakukan pencatutan dan menaikkan harga barangan pada kadar melampau akan dikenakan tindakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya memandang serius isu kenaikan harga yang dikatakan mungkin berlaku pada Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Menurutnya, siasatan terperinci di setiap peringkat rantaian perniagaan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya kementerian menerima aduan berlaku kenaikan harga barangan yang melampau dan tidak munasabah.

"Ketika ini, orang membuat perbandingan harga, sebagai contoh, tiga biji kuih dijual dengan harga RM1 tahun lalu tetapi tiba-tiba puasa ini kemungkinan ia dijual dengan harga RM1 bagi dua biji kuih.

"Apabila ini berlaku, kita akan siasat di setiap rantaian bermula dari peringkat pengeluar kepada pemborong, pemborong kepada peruncit dan peruncit kepada peniaga untuk tentukan jika wujud unsur pencatutan.

Rosol Wahid bercakap pada Majlis Apresiasi Bersama Media Terengganu malam tadi. FOTO BERNAMA
Rosol Wahid bercakap pada Majlis Apresiasi Bersama Media Terengganu malam tadi. FOTO BERNAMA

"Jika didapati kenaikan harga itu ada unsur pencatutan, maka kita akan ambil tindakan di bawah AKHAP2011," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Kepenggunaan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Bersama Media Terengganu di sini malam tadi.

Rosol berkata, lebih 2,200 penguat kuasa dengan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga akan menjalankan pemantauan berterusan di lapangan berikutan jangkaan akan berlaku kenaikan harga juadah di bazar Ramadan.

Katanya, pemantauan bukan hanya dilakukan di bazar Ramadan dan Aidilfitri tetapi turut dilaksanakan di lokasi lain seperti pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.

Menjelang ketibaan Ramadan, peniaga di beberapa negeri menjangkakan terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual di bazar-bazar bagi menampung modal harga bahan mentah yang terus melambung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 12:47 PM