BEH menunjukkan rampasan pelbagai jenis mercun di Stor Barang Kes IPD Sentul di sini, hari ini. FOTO Fathil Asri
BEH menunjukkan rampasan pelbagai jenis mercun di Stor Barang Kes IPD Sentul di sini, hari ini. FOTO Fathil Asri
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menjadikan rumah persendirian dan kawasan perindustrian sebagai tempat menyembunyikan pelbagai jenis mercun serta bunga api.

Kegiatan sindiket penjualan bahan terlarang itu yang aktif sejak dua tahun lalu dibongkar polis susulan serbuan di dua lokasi di Kepong di sini, pada Rabu lalu.

Hasil serbuan sepasukan polis itu menahan lima lelaki berusia 21 hingga 51 tahun dan merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM4.17 juta.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 2.30 petang.

"Siasatan awal mendapati kegiatan penyimpanan di kawasan perindustrian dan rumah teres dua tingkat dilakukan sejak dua tahun lalu.

"Modus operandi mereka adalah menyeludup masuk mercun melalui laluan laut di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum disimpan di dua premis berkenaan," katanya dalam sidang media di Stor Barang Kes IPD Sentul di sini, hari ini.

Beh berkata, pihaknya merampas sejumlah 1,059 kotak mercun dan 35 guni berisi mercun, wang tunai berjumlah RM12,900 serta enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Menurutnya, mercun dan bunga api terbabit disasarkan jualan dalam pasaran Lembah Klang sempena perayaan Aidilfitri dan bekalan dipercayai dibeli dari China.

"Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala tiga lagi suspek tiada rekod lampau. Mereka direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran dan penjualan mercun secara haram menyalurkan kepada polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/85 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 4:50 PM