POLIS menyerbu restoran di yang menjadikan sebuah bilik sebagai tempat judi dalam talian. FOTO ihsan Polis
POLIS menyerbu restoran di yang menjadikan sebuah bilik sebagai tempat judi dalam talian. FOTO ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kegiatan restoran di Taman Sri Sinar Segambut di sini, menjalankan aktiviti perjudian dalam talian terbongkar dalam serbuan Op Dadu, semalam.

Dalam serbuan 5 petang itu, tujuh individu termasuk seorang wanita warga asing dan lima pelanggan berusia antara 40 hingga 75 tahun ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika serbuan kesemua pelanggan leka bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit di dalam bilik di restoran berkenaan.

"Siasatan mendapati kegiatan perjudian yang berselindung di sebalik restoran itu sudah beroperasi sejak dua minggu lalu.

"Hasil serbuan, polis turut merampas wang tunai RM720, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, modem, wifi router dan beberapa perkakas lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) akta sama.

Katanya, pengusaha premis juga akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:48 PM