MERCUN dan bunga api dirampas polis dalam di FELDA Raja Alias 1. FOTO Abnor Hamizam
MERCUN dan bunga api dirampas polis dalam di FELDA Raja Alias 1. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


HASRAT lelaki mahu menjual bunga api dan mercun sempena Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila dia dicekup polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan pada 2.45 petang ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) di FELDA Raja Alias 1.

Katanya polis yang menerima maklumat awam berkaitan penjualan barang terlarang itu membuat serbuan dan menahan kenderaan terbabit sebelum diperiksa.

"Pemeriksaan polis di dalam kenderaan berkenaan menemui 36 bungkus mercun bola, enam kotak mercun 'king boom,' dua kotak 'happy boom', satu kotak 'happy boom KK003.'

"Turut ditemui dua kotak 'happy boom sun sparklers,' lima kotak 'happy boom' cili padi, satu bungkusan candela China 15 tembakan dan 14 kotak bunga api asap," katanya di Jempol, hari ini.

Mohd Khairiel berkata, selain mercun dan bunga api, polis turut menemui 60 kotak rokok seludup yang diletak di bahagian tempat duduk penumpang belakang MPV berkenaan.

Katanya semakan polis mendapati suspek meminjam MPV berkenaan daripada rakannya bagi mengambil mercun, bunga api dan rokok di Kuala Pilah daripada seorang lelaki tidak dikenalinya.

Katanya suspek juga tidak mempunyai rekod lampau jenayah dan ujian air kencing didapati negatif.

"Nilai rampasan berjumlah RM2,000 dan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Ini adalah tangkapan pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. Polis memandang serius penjualan bahan terlarang serta penyeludupan rokok dan akan bertindak tegas membanteras kegiatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 12:13 PM